Perkara
152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah
bahasa Melayu. Suara positif daripada kerajaan untuk kembali memperkasakan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan merupakan
langkah terbaik kerajaan dalam mematuhi Perkara 152. Nik Safiah Karim
(1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu
akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah.
Pelbagai akta dan laporan telah dilaksanakan untuk mempertahan dan
memperkembang bahasa Melayu supaya bahasa Melayu bergerak seiring dengan
kepesatan pembangunan negara kita. Antara akta dan laporan tersebut adalah
seperti Penyata Razak (1959), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran
(1961), Akta Bahasa Kebangsaan (1963, 1967 dan 1990) Laporan Jawatan Kuasa
Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran (1979) dan Akta Pendidikan
(1966). Sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, sudah menjadi
tanggungjawab sejarahnya untuk mengekalkan dan memperkasakan sistem pendidikan
dalam bahasa kebangsaan (Shahnon Ahmad et al, 2011). Namun sejauh
manakah usaha kita untuk memikul tanggungjawab ini?
Seperti yang kita sedia maklum, institusi pendidikan terutamanya sekolah
dan universiti merupakan salah satu cabang atau ‘platform’ untuk kita
memperkembang dan memperkasakan bahasa Melayu seiring dengan pembangunan negara
pada masa kini. Menjadi sesuatu yang agak janggal apabila sistem pendidikan di
Malaysia menawarkan pilihan sama ada untuk menggunakan bahasa Melayu atau
bahasa Inggeris bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Umpamanya dasar
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Perlaksanaan dasar ini sedikit sebanyak telah mencemarkan peruntukan dalam
Perkara 152 dan turut memberi perspektif negatif kepada fungsi dan
peranan institusi pendidikan sebagai pusat perkembangan bahasa.
Menurut Hashim Musa
(1996), yang paling serius ialah penubuhan kolej swasta dan separuh swasta
serta institusi pengajian tinggi kerajaan yang kesemua berpenghantar bahasa
Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di institusi
pengajian tinggi swasta khususnya menyebabkan penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu kian terpinggir. Seperti mana yang kita sedia maklum, usaha
mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu telah dijalankan sejak sekian
lama. Berdasarkan pelbagai akta dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, jelaslah
bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu itu telah diangkat ke tahap
yang lebih tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Sebagai
contoh, pada tahun 1972, penubuhan Univesiti Kebangsaan Malaysia yang
menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai pengantar telah menunjukkan
bahawa bahasa Melayu itu mempunyai kemampuan setanding dengan bahasa Inggeris.
Namun begitu, kedudukan bahasa Melayu sedikit tergugat apabila wujudnya Akta
Pendidikan 1996. Kewujudan akta ini adalah bertentangan dengan
langkah-langkah peningkatan dan pengukuhan bahasa Melayu. Seandainya kita ingin
menjadikan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa yang global, bahasa Melayu
mestilah digunakan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Jika tidak usaha yang
selama ini kita jalankan tidak akan menjadi kenyataan.
Bahasa tumbuh dan berkembang selari dengan perkembangan tamadun
sesuatu bangsa (Jeniri Amir, 2011). Peranan institusi pendidikan dalam
memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dilihat sangat
penting. Kegagalan mempertahankan bahasa akan memberi impak yang sangat
besar kepada sesuatu bangsa dan negara. Awang Sariyan (1995)
turut menyarankan supaya bahasa Melayu diwajibkan di kalangan anak-anak
warganegara asing yang belajar di sekolah-sekolah antarabangsa.
Dalam melestarikan
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, peranannya sebagai bahasa pengantar perlu
diperluas ke peringkat pengajian tinggi. Apakah kesannya jika kita
menukar bahasa pengucapan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan?
Kita perlu belajar daripada pengalaman Jepun pada zaman Meiji.
Jepun telah membina bangsanya dengan bahasanya sendiri. Meiji sedar bahawa
bahasa penjajah Cina merupakan halangan utama ke arah merealisasikan impiannya
untuk membina zaman baharu. Meiji nekad dan telah menggunakan bahasa ibundanya
iaitu bahasa Jepun untuk mencapai kemajuan. Dan, kita lihat sekarang
Jepun telah berkembang maju dengan bahasanya sendiri.
Sebenarnya dalam kalangan masyarakat kita sendiri, terdapat
suara-suara yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
di sekolah. Ada pihak menganggap bahawa bahasa Melayu bahasa yang mundur.
Bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan konsep ilmu moden yang diperlukan oleh
bangsa untuk maju. Pendapat ini ternyata meleset. Ini dibuktikan apabila
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) telah lama
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk mempelajari ilmu moden. Tetapi
mereka berjaya menghasilkan golongan profesional dalam pelbagai bidang.
Dalam usaha kita membina, tidak perlu ada usaha meruntuh
supaya segala usaha kita tidak akan menjadi sia-sia. Bahasa Melayu perlu terus
dipertahankan agar tidak pupus. Bahasa Melayu perlu terus dikembangkan supaya
tidak hilang di dunia ini serta dapat mencerminkan bangsa kita.
Lihat link yang berkaitan dengan perbincangan ini:
http://dinakan.tripod.com/karya/karya30.
htmhttp://melayumoden.com/?p=672
http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=14http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=107
Rujukan :
Jeniri Amir. (2011). Artikel Pelita Bahasa : Ibarat Sungai dengan Airnya. Dewan Bahasa dan Pustaka.