Sebelum kita mengupas dengan lebih
mendalam berkenaan isu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) ini, kita kenali dahulu perkara yang terkandung
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sejauh mana kita sebagai bakal pendidik
memahami maksud yang terkandung dalam falsafah tersebut? FPK yang mula diperkenalkan
pada tahun 1996 mengandungi banyak maksud tersirat bagi melahirkan insan yang
berkualiti. Melihat senario di Malaysia, berlaku perubahan yang besar dalam sistem
pendidikan berbanding 50 tahun yang lalu.
Sebagai sebuah negara membangun dan dalam usaha mencapai negara maju
pada tahun 2020, aspek utama yang ditekankan ialah pembangunan modal insan.
Pembangunan modal insan yang seimbang akan menjamin pembangunan sesebuah
negara. Dalam hal ini, bidang pendidikan memainkan peranan yang amat penting
dalam merealisasikan hasrat murni negara ini.
Seterusnya, mari kita lihat pendidikan
menurut perspektif Islam. Tujuan dan matlamat pendidikan adalah untuk membentuk
akidah, sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah
untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara bagi mencapai
keredhaan Allah (Hassan Langgulung, 1986). Sama ada kita sedar ataupun tidak,
peranan pendidikan di Malaysia yang digariskan dalam FPK mempunyai
signifikannya dengan tujuan dan matlamat dalam perspektif Islam. Ianya boleh dilihat dalam ayat kedua FPK iaitu
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara (Mok Song Sang, 2009).
APA
ITU PKRS
PKRS adalah akronim untuk Pendidikan
Kesihatan Reproduktif dan Sosial. Reproduktif
adalah berkaitan pembiakan manusia manakala sosial berkaitan dengan hubungan atau
cara pergaulan khususnya antara berlainan jantina. PKRS adalah salah satu isu yang hangat
diperkatakan sejak kebelakangan ini khususnya di Kementerian Pendidikan. Ia
merupakan mata pelajaran baru yang bakal diwujudkan di semua sekolah rendah dan
sekolah menengah di negara ini bagi mengurangkan masalah kepincangan sosial
dalam kalangan remaja sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Timbalan
Menteri Pelajarannya telah mengumumkan perkara ini pada Julai lalu dan silibus
yang sesuai dimasukkan dalam mata pelajaran berkenaan juga dikatakan boleh
menyedarkan anak muda mengenai ancaman kegiatan lesbian, gay, biseksual dan
transgender (LGBT) di negara ini (Utusan Malaysia, 2012). Kertas kerja
berkenaan subjek ini mula dibentangkan pada tahun 2010 untuk melihat sejauhmana
keberkesanannya bagi mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja hari ini.
Ia berikutan peningkatan kes-kes berkaitan kehamilan luar nikah membabitkan pelajar
bawah umur yang semakin membimbangkan dan usaha membendung serta memberi
pengetahuan mengenainya perlu dijalankan segera (Berita Harian, Ogos 2010).
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil, saranan melaksanakan PKRS dibuat bagi mengelakkan
pelajar menjadikan Internet sebagai bahan rujukan pendidikan seks dengan
melayari laman web pornografi.
Ramai yang tertanya-tanya dan memberi
pelbagai reaksi terhadap kewujudan subjek PKRS ini. Ada yang menyokong malah tidak kurang juga
yang membantah mata pelajaran PKRS dijadikan salah satu mata pelajaran teras di
sekolah dan sama levelnya dengan
subjek teras lain seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bagi saya,
pihak Kementerian Pelajaran mempunyai alasan yang kukuh untuk mewujudkan mata
pelajaran ini di sekolah. Pada pendapat saya, segalanya didasarkan kepada
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merupakan hala tuju sistem pendidikan di
negara kita. Itulah sebabnya, di awal penulisan saya menyentuh FPK. Dasar
pendidikan telah digubal dan disesuaikan dari masa ke semasa untuk meningkatkan
mutu sistem pendidikan bagi memenuhi keperluan semasa dan keperluan masa depan.
Kita juga sedia maklum, konsep dan proses pendidikan yang dicipta pada masa ini
juga telah merangkumi aspek intelek, jasmani serta pembinaan akhlak yang mulia,
berani, hormat menghormati dan memperkembangkan potensi individu hingga ke peringkat
optimum bagi menjadikan mereka rakyat yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat
dan negara. Oleh itu, sekiranya kepincangan telah wujud di peringkat sekolah
sudah tentu kita tidak akan dapat melahirkan modal insan yang berkualiti. Satu
persoalan wujud iaitu mengapakah kerajaan memilih institusi pendidikan dalam
usaha membendung masalah sosial ini? Institusi Pendidikan ditunjangi oleh guru
manakala murid adalah pelanggan kepada guru.
Menurut Noriati A. Rashid dan
rakan-rakan dalam bukunya Falsafah dan Pendidikan di Malaysia (2012), peranan
guru adalah sebagai pembina modal insan
antaranya sebagai penggilap potensi, pembentuk akhlak, pendorong kemahiran
berfikir secara kritis dan kreatif, penjana perubahan dan sebagai pembimbing. Merujuk
kepada peranan guru sebagai pembentuk akhlak, ia merupakan tanggungjawab besar
para pendidik. Berdasarkan pemerhatian, murid sekolah rendah lebih mempercayai
guru mereka berbanding ibu bapa mereka sendiri. Maka, guru mempunyai pengaruh
yang besar dalam mencorak akhlak anak didiknya ke arah yang lebih baik. Selain
sebagai ‘role model’, guru perlu
memberi didikan, membimbing dan membentuk akhlak mereka agar tidak terpesong
dan tidak mudah melakukan aktiviti yang boleh merosakkan diri mereka sendiri.
Kehadiran guru yang terlatih dalam Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial,
maka anak-anak ini boleh bertanya dan mendapatkan jawapan yang jelas dan tepat terhadap
setiap persoalan yang timbul dalam fikiran mereka yang tidak mampu dijawab oleh
ibu bapa dan guru-guru untuk subjek lain.
Sebenarnya, pengajaran mengenai unsur
pendidikan seks secara asas memang telah diajar di sekolah sejak dahulu lagi
tetapi secara tidak langsung dan tidak berfokus iaitu melalui mata pelajaran
Pendidikan Islam dan subjek Sains. Namun begitu, disebabkan arus modenisasi dan
globalisasi yang melanda negara, kita terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah
terutama melibatkan golongan remaja khususnya dalam aspek pergaulan bebas.
Kerajaan berpendapat mata pelajaran baru ini dapat memberi pendedahan dan ilmu
pengetahuan tentang fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki
dan perempuan. Murid-murid sekolah boleh memperoleh maklumat berhubung
kesihatan reproduktif mereka dengan lebih tepat daripada guru yang terlatih dan
mempunyai kemahiran dan kepakaran tentang pendidikan kesihatan. Kita juga tidak
mahu murid-murid ini mendapatkan maklumat menerusi sumber yang salah contohnya
internet dan bahan bacaan lucah. Perasaan ingin tahu kanak-kanak dan remaja ini
membuatkan mereka sentiasa mencuba tanpa memikirkan impaknya. Hujah saya ini
disokong berdasarkan konsep asas psikologi dan tingkah laku manusia yang boleh
dilihat dari aspek naluri, desakan, keperluan dan motivasi.
Berdasarkan penyelidikan daripada
tokoh-tokoh terkenal dalam bidang psikologi seperti Carl Jung, Sigmund Freud
dan Erik Erikson, peringkat kanak-kanak dan remaja merupakan peringkat mencari
makna hidup dan mencuba sesuatu yang baru bagi mereka. Tingkahlaku mereka akan
dipengaruhi keempat-empat aspek tadi bermula dari naluri. Menurut
Mohd Salleh Lebar (1994), naluri ialah kecenderungan semula jadi untuk bergerak
balas dengan cara tertentu dan cara-cara yang agak rumit tanpa pengalaman
lampau atau latihan. Naluri yang
dimaksudkan ialah naluri makan, minum, ingin tahu, ingin belajar, berkawan,
ingin bertanding, seks dan sebagainya. Desakan pula adalah kesimpulan yang
dibuat daripada tingkahlaku yang diperhatikan dan dianggap sebagai ketegangan
yang disebabkan kekurangan sesuatu atau keperluan. Salah satu jenis desakan
ialah desakan seks yang merupakan desakan semulajadi manusia. Desakan ini timbul apabila seseorang itu
meningkat ke alam remaja. Desakan seks lebih ketara apabila didedahkan dengan
unsur-unsur atau objek yang boleh mendatangkan keberahian. Desakan itu
menyebabkan remaja ini terdorong melakukan sesuatu diluar jangkaan sehingga
mendatangkan kesan negatif tanpa mereka sedari. Oleh kerana kebanyakan masa
remaja ialah berasa di sekolah maka guru memainkan peranan penting untuk
membimbing mereka menjadi manusia mampu menaakul dan menilai kebaikan dan
keburukan sesuatu perkara sebelum keputusan diambil.
Menurut Azizi Yahaya dan rakan-rakan
(2006), masalah kecelaruan gender atau identity berkait rapat dengan kecelaruan
psikologi. Kecelaruan identity jantina bermaksud konflik atau suasana yang tidak
kongruen antara anatomi seks sebenar seseorang dengan identity jantina yang
dirasainya. Kecelaruan ini berpunca daripada cara seseorang itu berfikir
tentang dirinya. Peranan jantina bermaksud apa-apa sahaja yang dilakukan oleh
seseorang itu bagi membuktikan dia termasuk dalam kategori lelaki atau
perempuan. Manakala identity jantina bermaksud konsep kendiri dan kepercayaan
seseorang itu sebagai lelaki atau perempuan. oleh sebab mereka tidak mengakui
bahawa diri mereka sebagai lelaki ataupun perempuan, timbullah perilaku yang
bertentangan dengan norma dan nilai masyarakat yang dikategorikan sebagai
perilaku tidak normal. Menurut beliau lagi, di Malaysia dianggarkan terdapat
10,000 lelaki transeksual (seseorang yang ingin menjadi jantina yang bertentangan
daripada jantina sebenarnya dan lazimnya mahu menukar jantina sepenuhnya
melalui pembedahan) iaitu 70 hingga 80 peratus adalah Melayu dan selebihnya
Cina, India dan kaum minoriti lain. Statistik
yang membimbangkan inilah yang mendorong kerajaan untuk mewujudkan subjek ini
di sekolah.
Senario yang membimbangkan ini juga
telah menyebabkan syarat pengambilan guru pelatih telah diperketat pada tahun
ini. Tapisan telah dibuat di peringkat temuduga lagi. Hanya mereka (pemohon
lelaki) yang maskulin dan sahaja boleh melepasi peringkat ini. Pemohon
perempuan juga tidak terkecuali daripada melalui tapisan ini. Mereka yang pada
dasarnya perempuan tetapi mempunyai perwatakan seperti yang bukan sejantina
dengannya juga tidak layak untuk melepasi tapisan ini. Ia bukan bermaksud wujud
pilih kasih atau ketidakadilan bagi pihak mereka, tetapi pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia beranggapan guru
merupakan model yang akan dicontohi oleh murid. Sekiranya seorang guru itu juga
mengalami kecelaruan gender dalam dirinya, ia tidak mustahil akan diikuti oleh
anak muridnya. Sekiranya ia terjadi maka akan bertambahlah golongan yang
mengalami masalah ini dan seterusnya hasrat kerajaan untuk menghasilkan modal
insan yang seimbang agak sukar untuk dicapai dengan jayanya.
Namun begitu, kita sedar realitinya kewujudan
subjek PKRS bukanlah satu-satunya cara untuk menangani gejala sosial dalam
kalangan remaja. Sebab itulah terdapat beberapa golongan yang membantah subjek
ini diajar di sekolah. Masalah salah laku dan kecelaruan identiti ini
sepatutnya tidak dibebankan kepada pihak sekolah sahaja kerana guru hanya
membimbing di kawasan sekolah sahaja manakala kehidupan remaja di luar kawasan
sekolah bukan lagi di bawah bidang kuasa guru dan institusi pendidikan.
RUJUKAN
Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah,
Roslee Ahmad dan Sharifuddin Ismail (2006), Punca dan Rawatan Kecelaruan
Tingkah Laku, PTS Professional Publishing Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Ee
Ah Meng (1995), Murid dan Proses Pembelajaran Asas Pendidikan 2,
Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Shah Alam.
Mohd Salleh Lebar (1994), Asas
Psikologi Perkembangan, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala
Lumpur.
Mook Song Sang (2009), Falsafah dan
Pendidikan di Malaysia, Penerbit Multimedia Sdn Bhd, Puchong
Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong,
Zulkufli Mahayudin dan Zakiah Noordin (2012), Falsafah & Pendidikan di
Malaysia, Oxford Fajar Sdn Bhd, Shah Alam.
No comments:
Post a Comment