Saturday, 28 July 2012

PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL DI SEKOLAH

Sebelum kita mengupas dengan lebih mendalam berkenaan isu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) ini, kita kenali dahulu perkara yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sejauh mana kita sebagai bakal pendidik memahami maksud yang terkandung dalam falsafah tersebut? FPK yang mula diperkenalkan pada tahun 1996 mengandungi banyak maksud tersirat bagi melahirkan insan yang berkualiti. Melihat senario di Malaysia, berlaku perubahan yang besar dalam sistem pendidikan berbanding 50 tahun yang lalu.  Sebagai sebuah negara membangun dan dalam usaha mencapai negara maju pada tahun 2020, aspek utama yang ditekankan ialah pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan yang seimbang akan menjamin pembangunan sesebuah negara. Dalam hal ini, bidang pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan hasrat murni negara ini.
Seterusnya, mari kita lihat pendidikan menurut perspektif Islam. Tujuan dan matlamat pendidikan adalah untuk membentuk akidah, sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara bagi mencapai keredhaan Allah (Hassan Langgulung, 1986). Sama ada kita sedar ataupun tidak, peranan pendidikan di Malaysia yang digariskan dalam FPK mempunyai signifikannya dengan tujuan dan matlamat dalam perspektif Islam.  Ianya boleh dilihat dalam ayat kedua FPK iaitu melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara (Mok Song Sang, 2009).

APA ITU PKRS
PKRS adalah akronim untuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial.  Reproduktif adalah berkaitan pembiakan manusia manakala sosial berkaitan dengan hubungan atau cara pergaulan khususnya antara berlainan jantina.  PKRS adalah salah satu isu yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini khususnya di Kementerian Pendidikan. Ia merupakan mata pelajaran baru yang bakal diwujudkan di semua sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini bagi mengurangkan masalah kepincangan sosial dalam kalangan remaja sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Timbalan Menteri Pelajarannya telah mengumumkan perkara ini pada Julai lalu dan silibus yang sesuai dimasukkan dalam mata pelajaran berkenaan juga dikatakan boleh menyedarkan anak muda mengenai ancaman kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini (Utusan Malaysia, 2012). Kertas kerja berkenaan subjek ini mula dibentangkan pada tahun 2010 untuk melihat sejauhmana keberkesanannya bagi mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja hari ini. Ia berikutan peningkatan kes-kes berkaitan kehamilan luar nikah membabitkan pelajar bawah umur yang semakin membimbangkan dan usaha membendung serta memberi pengetahuan mengenainya perlu dijalankan segera (Berita Harian, Ogos 2010). Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, saranan melaksanakan PKRS dibuat bagi mengelakkan pelajar menjadikan Internet sebagai bahan rujukan pendidikan seks dengan melayari laman web pornografi.
Ramai yang tertanya-tanya dan memberi pelbagai reaksi terhadap kewujudan subjek PKRS ini.  Ada yang menyokong malah tidak kurang juga yang membantah mata pelajaran PKRS dijadikan salah satu mata pelajaran teras di sekolah dan sama levelnya dengan subjek teras lain seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bagi saya, pihak Kementerian Pelajaran mempunyai alasan yang kukuh untuk mewujudkan mata pelajaran ini di sekolah. Pada pendapat saya, segalanya didasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merupakan hala tuju sistem pendidikan di negara kita. Itulah sebabnya, di awal penulisan saya menyentuh  FPK.  Dasar pendidikan telah digubal dan disesuaikan dari masa ke semasa untuk meningkatkan mutu sistem pendidikan bagi memenuhi keperluan semasa dan keperluan masa depan. Kita juga sedia maklum, konsep dan proses pendidikan yang dicipta pada masa ini juga telah merangkumi aspek intelek, jasmani serta pembinaan akhlak yang mulia, berani, hormat menghormati dan memperkembangkan potensi individu hingga ke peringkat optimum bagi menjadikan mereka rakyat yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, sekiranya kepincangan telah wujud di peringkat sekolah sudah tentu kita tidak akan dapat melahirkan modal insan yang berkualiti. Satu persoalan wujud iaitu mengapakah kerajaan memilih institusi pendidikan dalam usaha membendung masalah sosial ini? Institusi Pendidikan ditunjangi oleh guru manakala murid adalah pelanggan kepada guru.
Menurut Noriati A. Rashid dan rakan-rakan dalam bukunya Falsafah dan Pendidikan di Malaysia (2012), peranan guru  adalah sebagai pembina modal insan antaranya sebagai penggilap potensi, pembentuk akhlak, pendorong kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, penjana perubahan dan sebagai pembimbing. Merujuk kepada peranan guru sebagai pembentuk akhlak, ia merupakan tanggungjawab besar para pendidik. Berdasarkan pemerhatian, murid sekolah rendah lebih mempercayai guru mereka berbanding ibu bapa mereka sendiri. Maka, guru mempunyai pengaruh yang besar dalam mencorak akhlak anak didiknya ke arah yang lebih baik. Selain sebagai ‘role model’, guru perlu memberi didikan, membimbing dan membentuk akhlak mereka agar tidak terpesong dan tidak mudah melakukan aktiviti yang boleh merosakkan diri mereka sendiri. Kehadiran guru yang terlatih dalam Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, maka anak-anak ini boleh bertanya dan mendapatkan jawapan yang jelas dan tepat terhadap setiap persoalan yang timbul dalam fikiran mereka yang tidak mampu dijawab oleh ibu bapa dan guru-guru untuk subjek lain.
Sebenarnya, pengajaran mengenai unsur pendidikan seks secara asas memang telah diajar di sekolah sejak dahulu lagi tetapi secara tidak langsung dan tidak berfokus iaitu melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan subjek Sains. Namun begitu, disebabkan arus modenisasi dan globalisasi yang melanda negara, kita terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah terutama melibatkan golongan remaja khususnya dalam aspek pergaulan bebas. Kerajaan berpendapat mata pelajaran baru ini dapat memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki dan perempuan. Murid-murid sekolah boleh memperoleh maklumat berhubung kesihatan reproduktif mereka dengan lebih tepat daripada guru yang terlatih dan mempunyai kemahiran dan kepakaran tentang pendidikan kesihatan. Kita juga tidak mahu murid-murid ini mendapatkan maklumat menerusi sumber yang salah contohnya internet dan bahan bacaan lucah. Perasaan ingin tahu kanak-kanak dan remaja ini membuatkan mereka sentiasa mencuba tanpa memikirkan impaknya. Hujah saya ini disokong berdasarkan konsep asas psikologi dan tingkah laku manusia yang boleh dilihat dari aspek naluri, desakan, keperluan dan motivasi.
Berdasarkan penyelidikan daripada tokoh-tokoh terkenal dalam bidang psikologi seperti Carl Jung, Sigmund Freud dan Erik Erikson, peringkat kanak-kanak dan remaja merupakan peringkat mencari makna hidup dan mencuba sesuatu yang baru bagi mereka. Tingkahlaku mereka akan dipengaruhi keempat-empat aspek tadi bermula dari naluri.   Menurut Mohd Salleh Lebar (1994), naluri ialah kecenderungan semula jadi untuk bergerak balas dengan cara tertentu dan cara-cara yang agak rumit tanpa pengalaman lampau atau latihan.  Naluri yang dimaksudkan ialah naluri makan, minum, ingin tahu, ingin belajar, berkawan, ingin bertanding, seks dan sebagainya. Desakan pula adalah kesimpulan yang dibuat daripada tingkahlaku yang diperhatikan dan dianggap sebagai ketegangan yang disebabkan kekurangan sesuatu atau keperluan. Salah satu jenis desakan ialah desakan seks yang merupakan desakan semulajadi manusia.  Desakan ini timbul apabila seseorang itu meningkat ke alam remaja. Desakan seks lebih ketara apabila didedahkan dengan unsur-unsur atau objek yang boleh mendatangkan keberahian. Desakan itu menyebabkan remaja ini terdorong melakukan sesuatu diluar jangkaan sehingga mendatangkan kesan negatif tanpa mereka sedari. Oleh kerana kebanyakan masa remaja ialah berasa di sekolah maka guru memainkan peranan penting untuk membimbing mereka menjadi manusia mampu menaakul dan menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sebelum keputusan diambil.
Menurut Azizi Yahaya dan rakan-rakan (2006), masalah kecelaruan gender atau identity berkait rapat dengan kecelaruan psikologi. Kecelaruan identity jantina bermaksud konflik atau suasana yang tidak kongruen antara anatomi seks sebenar seseorang dengan identity jantina yang dirasainya. Kecelaruan ini berpunca daripada cara seseorang itu berfikir tentang dirinya. Peranan jantina bermaksud apa-apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang itu bagi membuktikan dia termasuk dalam kategori lelaki atau perempuan. Manakala identity jantina bermaksud konsep kendiri dan kepercayaan seseorang itu sebagai lelaki atau perempuan. oleh sebab mereka tidak mengakui bahawa diri mereka sebagai lelaki ataupun perempuan, timbullah perilaku yang bertentangan dengan norma dan nilai masyarakat yang dikategorikan sebagai perilaku tidak normal.  Menurut  beliau lagi, di Malaysia dianggarkan terdapat 10,000 lelaki transeksual (seseorang yang ingin menjadi jantina yang bertentangan daripada jantina sebenarnya dan lazimnya mahu menukar jantina sepenuhnya melalui pembedahan) iaitu 70 hingga 80 peratus adalah Melayu dan selebihnya Cina, India dan kaum minoriti lain.  Statistik yang membimbangkan inilah yang mendorong kerajaan untuk mewujudkan subjek ini di sekolah.
Senario yang membimbangkan ini juga telah menyebabkan syarat pengambilan guru pelatih telah diperketat pada tahun ini. Tapisan telah dibuat di peringkat temuduga lagi. Hanya mereka (pemohon lelaki) yang maskulin dan sahaja boleh melepasi peringkat ini. Pemohon perempuan juga tidak terkecuali daripada melalui tapisan ini. Mereka yang pada dasarnya perempuan tetapi mempunyai perwatakan seperti yang bukan sejantina dengannya juga tidak layak untuk melepasi tapisan ini. Ia bukan bermaksud wujud pilih kasih atau ketidakadilan bagi pihak mereka, tetapi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia beranggapan guru merupakan model yang akan dicontohi oleh murid. Sekiranya seorang guru itu juga mengalami kecelaruan gender dalam dirinya, ia tidak mustahil akan diikuti oleh anak muridnya. Sekiranya ia terjadi maka akan bertambahlah golongan yang mengalami masalah ini dan seterusnya hasrat kerajaan untuk menghasilkan modal insan yang seimbang agak sukar untuk dicapai dengan jayanya.
Namun begitu, kita sedar realitinya kewujudan subjek PKRS bukanlah satu-satunya cara untuk menangani gejala sosial dalam kalangan remaja. Sebab itulah terdapat beberapa golongan yang membantah subjek ini diajar di sekolah. Masalah salah laku dan kecelaruan identiti ini sepatutnya tidak dibebankan kepada pihak sekolah sahaja kerana guru hanya membimbing di kawasan sekolah sahaja manakala kehidupan remaja di luar kawasan sekolah bukan lagi di bawah bidang kuasa guru dan institusi pendidikan.  

RUJUKAN
Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad dan Sharifuddin Ismail (2006), Punca dan Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku, PTS Professional Publishing Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Ee  Ah Meng (1995), Murid dan Proses Pembelajaran Asas Pendidikan 2, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Shah Alam.
Mohd Salleh Lebar (1994), Asas Psikologi Perkembangan, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Mook Song Sang (2009), Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Penerbit Multimedia Sdn Bhd, Puchong
Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkufli Mahayudin dan Zakiah Noordin (2012), Falsafah & Pendidikan di Malaysia, Oxford Fajar Sdn Bhd, Shah Alam.


PROFESIONALKAH KERJAYA SEBAGAI GURU ?

Berbicara tentang profesion keguruan. Menurut Lieberman dalam Mok Soon Sang (2004), seorang tokoh pendidik Amerika Syarikat menyatakan sesuatu pekerjaan boleh digolongkan sebagai satu profesion haruslah mengandungi ciri-ciri :
  • Pekerjaan itu merupakan perkhidmatan yang unik dan penting dengan matlamat yang jelas untuk masyarakat dan negara.
  • Pekerjaan menggunakan banyak keupayaan dan kebolehan intelek semasa memberi perkhidmatan.
  • Orang profesional yang pernah mendapat latihan khusus dalam sesuatu bidang kemahiran ikhtisas mengikut satu tempoh masa tertentu.
  • Ahli sesuatu profesion adalah pakar dalam bidang pekerjaannya dan mempunyai autonomi semasa menjalankan tugasnya.
  • Orang profesional adalah pekerja yang mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap pekerjaannya dan tidak mementingkan pendapatan atau ganjaran kewangan semasa memberi perkhidmatan.
  • Pekerja terdiri daripada ahli-ahli satu organisasi yang berkuasa  menentukan nilaitara-nilaitara untuk kemasukan, mengawal mutu perkhidmatan dan penyingkiran ahlinya. 
  • Setiap ahli profesion akan bertanggungjawab terhadap semua tindakan dan keputusan yang dibuatnya.
  • Setiap ahli profesional mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasi profesion tersebut.

Adakah guru seorang profesional ? Bagaimana pula sebenarnya  sesuatu kerjaya itu diklasifikasikan sebagai kerjaya yang profesional ? Adakah dengan melihat kepada popularnya sesuatu kerjaya itu atau melihat kepada taraf kehidupan yang dikecapi melalui sesuatu kerjaya itu ? Apabila kita melihat takrifan secara umum yang diberikan oleh masyarakat kepada kerjaya profesional, sudah pasti kerjaya seorang guru tidak tersenarai sebagai kerjaya profesional. Malah apabila ditanya kepada anak-anak kecil, apakah yang bakal mereka impikan pada suatu hari nanti, sudah pasti jawapan mereka ialah jurutera, polis, arkitek dan doktor. 
Profesion keguruan mempunyai takrifan tersendiri untuk meletakkannya sebaris dengan kerjaya profesional lain. Melalui ciri-ciri yang disenaraikan oleh Leiberman, kerjaya guru boleh dilihat sebagai kerjaya profesional. Tanpa kita sedar sebenarnya, guru adalah kerjaya yang sangat unik dan penting kepada negara. Guru merupakan agen kepada pemangkin pembangunan negara dalam melahirkan individu lain bertaraf profesional. Mungkin kita lupa lahirnya seorang arkitek, lahirnya seorang jurutera, lahirnya seorang doktor adalah daripada didikan seorang guru. 
Ilmu, nilai dan etika yang dimiliki oleh seorang guru sebenarnya meletakkan guru di satu tahap yang boleh dianggap profesional. Sudah menjadi lumrah hidup, seorang guru diberikan kepercayaan dan tanggungjawab dalam membentuk peribadi dan masa depan seorang pelajar. Hal ini menunjukkan profesion keguruan itu mempunyai status yang tinggi dalam masyarakat. 
Jika guru adalah seorang profesional, sama seperti profesional lain, guru perlu mempunyai iltizam untuk berkhidmat terhadap keperluan dan kehendak kliennya. Seorang guru yang profesional perlu sentiasa memastikan dirinya dipenuhi dengan ilmu pengetahuan, maklumat, mengamalkan etika dan nilai-nilai murni  demi memenuhi tanggungjawabnya dalam profesioan keguruan.

Lihat pautan yang berkaitan dengan isu ini :
a) http://www.slideshare.net/arthurjeo/3

Monday, 23 July 2012

SEKOLAH KLUSTER

Penubuhan Sekolah Kluster terkandung dalam Bab 9, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2006. Pewujudan Sekolah Kluster adalah berdasarkan pendekatan kedua PIPP, iaitu untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan yang mekanismenya dinyatakan dalam Teras Strategik Ke-6, Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.
Tinjauan literatur menunjukkan bahawa amalan mengelompokkan sekolah dilaksanakan di luar negara untuk peningkatan kualiti pendidikan. Pengelompokan yang dilaksanakan di luar negara adalah berasaskan lokaliti ataupun kecemerlangan.



Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.

Pemilihan sekolah kluster akan dibuat berdasarkan kepada kluster berikut:
  • Sekolah Rendah yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Orang Asli.
  • Sekolah Menengah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan Sekolah Model Khas.
  • Sekolah Pendidikan Khas, iaitu Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
  • Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Swasta.
  • Institusi lepas menengah seperti Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Pimpinan

Pemimpin sekolah kluster ialah:
  • Pengetua gred DG 52 atau Guru Besar gred DG 36;
  • Pemimpin yang terpilih memenuhi syarat pemimpin cemerlang; dan
  • Jawatan Pengetua/Guru Besar adalah jawatan berasaskan sekolah.

Guru

Guru-guru sekolah kluster pula:
  • Memenuhi kriteria Guru Cemerlang
  • Prestasi mereka akan menentukan kedudukan mereka di Sekolah Kluster.
  • Boleh mendapatkan perkhidmatan pakar mengikut bidang kebitaraan sekolah dalam bidang kokurikulum secara kontrak atau sambilan; dan
  • Nisbah kelas dengan guru ialah 1:2 (Sebuah kelas bersamaan dengan 2 orang guru).

Pemilihan Pelajar

Kaedah pemilihan pelajar sekolah kluster:
  • Kluster SBP, SMT dan SMKA kekal seperti amalan sedia ada
  • Kluster lain, pengetua/guru besar diberi kuasa mengambil sejumlah kecil murid baru untuk bidang kebitaraan sekolah
  • Ujian saringan sekolah
Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu 

FALSAFAH PENDIDIKAN GURU

"Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.



Implikasi Falsafah Pendidikan Guru:

Peranan Guru Sebagai Pendidik 
  • Guru hendaklah melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan pengetahuan dalam mata pelajaran.
  • Mengamalkan pengajaran dan pembelajaran selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Guru, khasnya mengembangkan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik,progresif dan berdisiplin.
  • Menyemai dan memupuk amalan nilai-nilai murni dan etika keguruan diri dan pelajar selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Guru.
  • Menyempurnakan tanggungjawab dan akauntabiliti sebagai insan guru yang sentiasa mencari ilmu serta mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan  keperluan pendidikan masa hadapan. 
  • Menggunakan ilmu  dan kemahiran mendidik serta nilai keguruan untuk merangsang perkembangan pelajar.

 (Sumber :Mok Soon Sang, 2004).



Peranan seorang guru kepada pelajar, ibu bapa,masyarakat, negara, dan profesion keguruan sangat besar. Guru telah memberikan sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan pembangunan yang dicapai negara pada hari ini. Guru-guru boleh dianggap sebagai  pemangkin dalam meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi pelajar-pelajar di sekolah. 
        Guru bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, akal dan emosi pelajar supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Seorang guru perlu memiliki ilmu pengetahuan, kemahiran, pembudayaan sikap progresif, beretika dan mempunyai moral yang tinggi ke arah pembentukan generasi muda yang mampu bersaing pada masa hadapan. 
        Sebagai seorang guru, memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan Guru sangat penting kerana ia akan memberi kesan yang mendalam kepada tanggungjawab yang dipikul. Ayuh wahai guru hayati dan sematkanlah dalam diri anda.