Monday 27 August 2012

SEJAUH MANAKAH KEBERKESANAN PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT DAN IPAD DI SEKOLAH?



“...tanpa disedari teknologi itu `membunuh' masa depan para pelajar.”

Berdasarkan kenyataan  di atas yang telah dilontarkan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Awang Mohamad berhubung dengan kebenaran penggunaan telefon mudah alih dan telefon pintar ke sekolah seolah-olah ia menggambarkan satu kesan yang patut digeruni oleh pelbagai pihak.

Isu ini dibahaskan dan dibincang dari pelbagai aspek sama ada positif mahupun negatif.  Berdasarkan kenyataan daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong yang mengganggap isu ini sebagai salah satu cara penyelesaian bagi kes-kes penculikan yang berhubung dengan keselamatan pelajar selepas tamat waktu persekolahan. Tambahnya lagi, para pelajar dibenarkan untuk membawa telefon bimbit dan telefon pintar ke sekolah selepas undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 dipinda.
Secara ringkasnya, kami melontarkan sedikit kebimbangan terhadap pelajar-pelajar yang gagal untuk membezakan yang baik dan yang buruk. Kesannya pasti jelas kelihatan suatu ketika nanti sekiranya perbandingan dijalankan di antara mereka yang leka dengan telefon bimbit dan mereka yang tidak leka dengan telefon bimbit.  Antara kesan negatif penggunaan telefon bimbit dan telefon pintar di sekolah ialah:

  •  Pelajar akan hilang tumpuan sewaktu belajar apabila pelajar akan mengambil kesempatan untuk menggunakan telefon ketika waktu kelas.
  • Pelajar juga akan kelihatan tidak dapat berenggang dengan telefon untuk pelbagai aktiviti seperti pesanan ringkas, permainan video, melayari internet, dan mendengar lagu di gajet masing-masing.
  • Pelajar akan lebih terdedah dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
  • Pelajar mungkin akan menyalahgunakan pengunaan  telefon bimbit untuk aktiviti yang tidak bermoral seperti meniru, melayari laman web lucah dan membuang masa melayari facebook.
  • Pelajar mungkin akan membebankan ibu bapa untuk memenuhi kehendak mereka seperti menyediakan telefon bimbit dan telefon pintar yang terbaru di pasaran supaya mereka kelihatan setara dengan kawan-kawan yang lain.
Penetapan garis panduan bagi mengawal penggunaan telefon bimbit dan telefon pintar telah disediakan seperti yang dijelaskan oleh Timbalan Menteri Pelajaran.  Jelasnya lagi, pelajar-pelajar yang gagal untuk mematuhi garis panduan ini akan dikenakan tindakan tegas seperti mendenda dan melarang pelajar yang terlibat akan diambil. Namun begitu, sejauh manakah pemantauan dan penguatkuasaan pihak sekolah terhadap pelajar yang melanggar garis panduan yang ditetapkan? 
 
Selain itu, kami percaya kajian berkaitan isu ini telah dijalankan sebelum kenyataan dikeluarkan melalui media massa. Antara kesan-kesan positif penggunaan telefon bimbit dan telefon pintar di sekolah ialah:
  •  Ini akan memudahkan pelajar untuk menghubungi ibu-bapa mereka selepas waktu persekolahan.
  •  Pelajar akan lebih mudah dan mahir untuk meneroka maklumat di laman sesawang pada era globalisasi kini.

 Kesimpulannya, pepatah melayu ada mengatakan, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Sebagaimana yang dibincangkan di atas, terdapat banyak kesan-kesan negatif yang akan timbul berbanding kesan-kesan positif mengenai isu hangat ini. Bersesuaian dengan pepatah di atas, lebih baik seandainya kita mengambil langkah berwaspada bagi mengelakkan masalah-masalah baru timbul di kemudian hari.  

 Lihat link yang berkaitan dengan perbincangan ini:



Saturday 18 August 2012

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

   
Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Suara positif daripada kerajaan untuk kembali memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan merupakan langkah terbaik kerajaan dalam mematuhi Perkara 152. Nik Safiah Karim (1984) pernah mengatakan bahawa pencapaian taraf keintelektualan bahasa Melayu akan menjadi lebih nyata apabila bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmiah. Pelbagai akta dan laporan telah dilaksanakan untuk mempertahan dan memperkembang bahasa Melayu supaya bahasa Melayu bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan negara kita. Antara akta dan laporan tersebut adalah seperti Penyata Razak (1959), Laporan Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran (1961), Akta Bahasa Kebangsaan (1963, 1967 dan 1990) Laporan Jawatan Kuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran (1979) dan Akta Pendidikan (1966). Sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, sudah menjadi tanggungjawab sejarahnya untuk mengekalkan dan memperkasakan sistem pendidikan dalam bahasa kebangsaan (Shahnon Ahmad et al, 2011). Namun sejauh manakah usaha kita untuk memikul tanggungjawab ini? 

     Seperti yang kita sedia maklum, institusi pendidikan terutamanya sekolah dan universiti merupakan salah satu cabang atau ‘platform’ untuk kita memperkembang dan memperkasakan bahasa Melayu seiring dengan pembangunan negara pada masa kini. Menjadi sesuatu yang agak janggal apabila sistem pendidikan di Malaysia menawarkan pilihan sama ada untuk menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Umpamanya dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Perlaksanaan dasar ini sedikit sebanyak telah mencemarkan peruntukan dalam Perkara  152 dan turut memberi perspektif negatif kepada fungsi dan peranan  institusi pendidikan sebagai pusat perkembangan bahasa.

Menurut Hashim Musa (1996), yang paling serius ialah penubuhan kolej swasta dan separuh swasta serta institusi pengajian tinggi kerajaan yang kesemua berpenghantar bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi swasta khususnya menyebabkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kian terpinggir. Seperti mana yang kita sedia maklum, usaha mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Melayu telah dijalankan sejak sekian lama. Berdasarkan pelbagai akta dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, jelaslah bahawa  kedudukan dan martabat bahasa Melayu itu telah diangkat ke tahap yang lebih tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Sebagai contoh, pada tahun 1972, penubuhan Univesiti Kebangsaan Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya sebagai  pengantar telah menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu mempunyai kemampuan setanding dengan bahasa Inggeris. Namun begitu, kedudukan bahasa Melayu sedikit tergugat apabila wujudnya Akta Pendidikan  1996. Kewujudan akta ini  adalah bertentangan dengan langkah-langkah peningkatan dan pengukuhan bahasa Melayu. Seandainya kita ingin menjadikan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa yang global, bahasa Melayu mestilah digunakan di Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Jika tidak usaha yang selama ini kita jalankan tidak akan menjadi kenyataan.

     Bahasa tumbuh dan berkembang selari dengan perkembangan tamadun sesuatu bangsa (Jeniri Amir, 2011). Peranan institusi pendidikan dalam memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dilihat sangat penting. Kegagalan mempertahankan bahasa akan memberi impak yang sangat besar kepada sesuatu bangsa dan negara. Awang Sariyan (1995) turut menyarankan supaya bahasa Melayu diwajibkan di kalangan anak-anak warganegara asing yang belajar di sekolah-sekolah antarabangsa.     Dalam melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, peranannya sebagai bahasa pengantar perlu diperluas ke peringkat pengajian tinggi.  Apakah kesannya jika kita menukar bahasa pengucapan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan? 

     Kita perlu belajar daripada pengalaman Jepun pada zaman Meiji. Jepun telah membina bangsanya dengan bahasanya sendiri. Meiji sedar bahawa bahasa penjajah Cina merupakan halangan utama ke arah merealisasikan impiannya untuk membina zaman baharu. Meiji nekad dan telah menggunakan bahasa ibundanya iaitu bahasa Jepun untuk mencapai kemajuan. Dan,   kita lihat sekarang Jepun telah berkembang maju dengan bahasanya sendiri.

     Sebenarnya dalam kalangan masyarakat kita sendiri, terdapat suara-suara yang tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Ada pihak menganggap bahawa bahasa Melayu bahasa yang mundur. Bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan konsep ilmu moden yang diperlukan oleh bangsa untuk maju. Pendapat ini ternyata meleset. Ini dibuktikan apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM) telah lama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk mempelajari ilmu moden. Tetapi mereka berjaya menghasilkan golongan profesional dalam pelbagai bidang.
 Dalam usaha kita membina, tidak perlu ada usaha meruntuh supaya segala usaha kita tidak akan menjadi sia-sia. Bahasa Melayu perlu terus dipertahankan agar tidak pupus. Bahasa Melayu perlu terus dikembangkan supaya tidak hilang di dunia ini serta dapat mencerminkan bangsa kita.  

           

 Lihat link yang berkaitan dengan perbincangan ini:
http://dinakan.tripod.com/karya/karya30.
htmhttp://melayumoden.com/?p=672 
http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=14http://dwnmasyarakat.dbp.my/?p=107

Rujukan :
Jeniri Amir. (2011). Artikel Pelita Bahasa : Ibarat Sungai dengan Airnya. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saturday 28 July 2012

PENDIDIKAN KESIHATAN REPRODUKTIF DAN SOSIAL DI SEKOLAH

Sebelum kita mengupas dengan lebih mendalam berkenaan isu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) ini, kita kenali dahulu perkara yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sejauh mana kita sebagai bakal pendidik memahami maksud yang terkandung dalam falsafah tersebut? FPK yang mula diperkenalkan pada tahun 1996 mengandungi banyak maksud tersirat bagi melahirkan insan yang berkualiti. Melihat senario di Malaysia, berlaku perubahan yang besar dalam sistem pendidikan berbanding 50 tahun yang lalu.  Sebagai sebuah negara membangun dan dalam usaha mencapai negara maju pada tahun 2020, aspek utama yang ditekankan ialah pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan yang seimbang akan menjamin pembangunan sesebuah negara. Dalam hal ini, bidang pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan hasrat murni negara ini.
Seterusnya, mari kita lihat pendidikan menurut perspektif Islam. Tujuan dan matlamat pendidikan adalah untuk membentuk akidah, sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara bagi mencapai keredhaan Allah (Hassan Langgulung, 1986). Sama ada kita sedar ataupun tidak, peranan pendidikan di Malaysia yang digariskan dalam FPK mempunyai signifikannya dengan tujuan dan matlamat dalam perspektif Islam.  Ianya boleh dilihat dalam ayat kedua FPK iaitu melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara (Mok Song Sang, 2009).

APA ITU PKRS
PKRS adalah akronim untuk Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial.  Reproduktif adalah berkaitan pembiakan manusia manakala sosial berkaitan dengan hubungan atau cara pergaulan khususnya antara berlainan jantina.  PKRS adalah salah satu isu yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini khususnya di Kementerian Pendidikan. Ia merupakan mata pelajaran baru yang bakal diwujudkan di semua sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini bagi mengurangkan masalah kepincangan sosial dalam kalangan remaja sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Timbalan Menteri Pelajarannya telah mengumumkan perkara ini pada Julai lalu dan silibus yang sesuai dimasukkan dalam mata pelajaran berkenaan juga dikatakan boleh menyedarkan anak muda mengenai ancaman kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini (Utusan Malaysia, 2012). Kertas kerja berkenaan subjek ini mula dibentangkan pada tahun 2010 untuk melihat sejauhmana keberkesanannya bagi mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja hari ini. Ia berikutan peningkatan kes-kes berkaitan kehamilan luar nikah membabitkan pelajar bawah umur yang semakin membimbangkan dan usaha membendung serta memberi pengetahuan mengenainya perlu dijalankan segera (Berita Harian, Ogos 2010). Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, saranan melaksanakan PKRS dibuat bagi mengelakkan pelajar menjadikan Internet sebagai bahan rujukan pendidikan seks dengan melayari laman web pornografi.
Ramai yang tertanya-tanya dan memberi pelbagai reaksi terhadap kewujudan subjek PKRS ini.  Ada yang menyokong malah tidak kurang juga yang membantah mata pelajaran PKRS dijadikan salah satu mata pelajaran teras di sekolah dan sama levelnya dengan subjek teras lain seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bagi saya, pihak Kementerian Pelajaran mempunyai alasan yang kukuh untuk mewujudkan mata pelajaran ini di sekolah. Pada pendapat saya, segalanya didasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merupakan hala tuju sistem pendidikan di negara kita. Itulah sebabnya, di awal penulisan saya menyentuh  FPK.  Dasar pendidikan telah digubal dan disesuaikan dari masa ke semasa untuk meningkatkan mutu sistem pendidikan bagi memenuhi keperluan semasa dan keperluan masa depan. Kita juga sedia maklum, konsep dan proses pendidikan yang dicipta pada masa ini juga telah merangkumi aspek intelek, jasmani serta pembinaan akhlak yang mulia, berani, hormat menghormati dan memperkembangkan potensi individu hingga ke peringkat optimum bagi menjadikan mereka rakyat yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, sekiranya kepincangan telah wujud di peringkat sekolah sudah tentu kita tidak akan dapat melahirkan modal insan yang berkualiti. Satu persoalan wujud iaitu mengapakah kerajaan memilih institusi pendidikan dalam usaha membendung masalah sosial ini? Institusi Pendidikan ditunjangi oleh guru manakala murid adalah pelanggan kepada guru.
Menurut Noriati A. Rashid dan rakan-rakan dalam bukunya Falsafah dan Pendidikan di Malaysia (2012), peranan guru  adalah sebagai pembina modal insan antaranya sebagai penggilap potensi, pembentuk akhlak, pendorong kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, penjana perubahan dan sebagai pembimbing. Merujuk kepada peranan guru sebagai pembentuk akhlak, ia merupakan tanggungjawab besar para pendidik. Berdasarkan pemerhatian, murid sekolah rendah lebih mempercayai guru mereka berbanding ibu bapa mereka sendiri. Maka, guru mempunyai pengaruh yang besar dalam mencorak akhlak anak didiknya ke arah yang lebih baik. Selain sebagai ‘role model’, guru perlu memberi didikan, membimbing dan membentuk akhlak mereka agar tidak terpesong dan tidak mudah melakukan aktiviti yang boleh merosakkan diri mereka sendiri. Kehadiran guru yang terlatih dalam Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, maka anak-anak ini boleh bertanya dan mendapatkan jawapan yang jelas dan tepat terhadap setiap persoalan yang timbul dalam fikiran mereka yang tidak mampu dijawab oleh ibu bapa dan guru-guru untuk subjek lain.
Sebenarnya, pengajaran mengenai unsur pendidikan seks secara asas memang telah diajar di sekolah sejak dahulu lagi tetapi secara tidak langsung dan tidak berfokus iaitu melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan subjek Sains. Namun begitu, disebabkan arus modenisasi dan globalisasi yang melanda negara, kita terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah terutama melibatkan golongan remaja khususnya dalam aspek pergaulan bebas. Kerajaan berpendapat mata pelajaran baru ini dapat memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki dan perempuan. Murid-murid sekolah boleh memperoleh maklumat berhubung kesihatan reproduktif mereka dengan lebih tepat daripada guru yang terlatih dan mempunyai kemahiran dan kepakaran tentang pendidikan kesihatan. Kita juga tidak mahu murid-murid ini mendapatkan maklumat menerusi sumber yang salah contohnya internet dan bahan bacaan lucah. Perasaan ingin tahu kanak-kanak dan remaja ini membuatkan mereka sentiasa mencuba tanpa memikirkan impaknya. Hujah saya ini disokong berdasarkan konsep asas psikologi dan tingkah laku manusia yang boleh dilihat dari aspek naluri, desakan, keperluan dan motivasi.
Berdasarkan penyelidikan daripada tokoh-tokoh terkenal dalam bidang psikologi seperti Carl Jung, Sigmund Freud dan Erik Erikson, peringkat kanak-kanak dan remaja merupakan peringkat mencari makna hidup dan mencuba sesuatu yang baru bagi mereka. Tingkahlaku mereka akan dipengaruhi keempat-empat aspek tadi bermula dari naluri.   Menurut Mohd Salleh Lebar (1994), naluri ialah kecenderungan semula jadi untuk bergerak balas dengan cara tertentu dan cara-cara yang agak rumit tanpa pengalaman lampau atau latihan.  Naluri yang dimaksudkan ialah naluri makan, minum, ingin tahu, ingin belajar, berkawan, ingin bertanding, seks dan sebagainya. Desakan pula adalah kesimpulan yang dibuat daripada tingkahlaku yang diperhatikan dan dianggap sebagai ketegangan yang disebabkan kekurangan sesuatu atau keperluan. Salah satu jenis desakan ialah desakan seks yang merupakan desakan semulajadi manusia.  Desakan ini timbul apabila seseorang itu meningkat ke alam remaja. Desakan seks lebih ketara apabila didedahkan dengan unsur-unsur atau objek yang boleh mendatangkan keberahian. Desakan itu menyebabkan remaja ini terdorong melakukan sesuatu diluar jangkaan sehingga mendatangkan kesan negatif tanpa mereka sedari. Oleh kerana kebanyakan masa remaja ialah berasa di sekolah maka guru memainkan peranan penting untuk membimbing mereka menjadi manusia mampu menaakul dan menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sebelum keputusan diambil.
Menurut Azizi Yahaya dan rakan-rakan (2006), masalah kecelaruan gender atau identity berkait rapat dengan kecelaruan psikologi. Kecelaruan identity jantina bermaksud konflik atau suasana yang tidak kongruen antara anatomi seks sebenar seseorang dengan identity jantina yang dirasainya. Kecelaruan ini berpunca daripada cara seseorang itu berfikir tentang dirinya. Peranan jantina bermaksud apa-apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang itu bagi membuktikan dia termasuk dalam kategori lelaki atau perempuan. Manakala identity jantina bermaksud konsep kendiri dan kepercayaan seseorang itu sebagai lelaki atau perempuan. oleh sebab mereka tidak mengakui bahawa diri mereka sebagai lelaki ataupun perempuan, timbullah perilaku yang bertentangan dengan norma dan nilai masyarakat yang dikategorikan sebagai perilaku tidak normal.  Menurut  beliau lagi, di Malaysia dianggarkan terdapat 10,000 lelaki transeksual (seseorang yang ingin menjadi jantina yang bertentangan daripada jantina sebenarnya dan lazimnya mahu menukar jantina sepenuhnya melalui pembedahan) iaitu 70 hingga 80 peratus adalah Melayu dan selebihnya Cina, India dan kaum minoriti lain.  Statistik yang membimbangkan inilah yang mendorong kerajaan untuk mewujudkan subjek ini di sekolah.
Senario yang membimbangkan ini juga telah menyebabkan syarat pengambilan guru pelatih telah diperketat pada tahun ini. Tapisan telah dibuat di peringkat temuduga lagi. Hanya mereka (pemohon lelaki) yang maskulin dan sahaja boleh melepasi peringkat ini. Pemohon perempuan juga tidak terkecuali daripada melalui tapisan ini. Mereka yang pada dasarnya perempuan tetapi mempunyai perwatakan seperti yang bukan sejantina dengannya juga tidak layak untuk melepasi tapisan ini. Ia bukan bermaksud wujud pilih kasih atau ketidakadilan bagi pihak mereka, tetapi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia beranggapan guru merupakan model yang akan dicontohi oleh murid. Sekiranya seorang guru itu juga mengalami kecelaruan gender dalam dirinya, ia tidak mustahil akan diikuti oleh anak muridnya. Sekiranya ia terjadi maka akan bertambahlah golongan yang mengalami masalah ini dan seterusnya hasrat kerajaan untuk menghasilkan modal insan yang seimbang agak sukar untuk dicapai dengan jayanya.
Namun begitu, kita sedar realitinya kewujudan subjek PKRS bukanlah satu-satunya cara untuk menangani gejala sosial dalam kalangan remaja. Sebab itulah terdapat beberapa golongan yang membantah subjek ini diajar di sekolah. Masalah salah laku dan kecelaruan identiti ini sepatutnya tidak dibebankan kepada pihak sekolah sahaja kerana guru hanya membimbing di kawasan sekolah sahaja manakala kehidupan remaja di luar kawasan sekolah bukan lagi di bawah bidang kuasa guru dan institusi pendidikan.  

RUJUKAN
Azizi Yahaya, Cathy Suhaila Abdullah, Roslee Ahmad dan Sharifuddin Ismail (2006), Punca dan Rawatan Kecelaruan Tingkah Laku, PTS Professional Publishing Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Ee  Ah Meng (1995), Murid dan Proses Pembelajaran Asas Pendidikan 2, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Shah Alam.
Mohd Salleh Lebar (1994), Asas Psikologi Perkembangan, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur.
Mook Song Sang (2009), Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, Penerbit Multimedia Sdn Bhd, Puchong
Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkufli Mahayudin dan Zakiah Noordin (2012), Falsafah & Pendidikan di Malaysia, Oxford Fajar Sdn Bhd, Shah Alam.